Monday 10 June 2013

FIQH PERUBATAN 1 : Derma Organ - Pemindahan Jantung Dan Mata


Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23 - 24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah DIBENARKAN (HARUS) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada   

    pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan    

    jantungnya.
3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan    

      perdagangan anggota-anggotanya.
4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang 
    anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat 
    kemalangan.

Keterangan/Hujah: 

Sumber yang menjadi asas hukum di atas ialah:

 i. Untuk menghapuskan kemudharatan, sepertimana yang dituntut oleh Hadis Rasulullah s.a.w. yang 

     berbunyi " لا ضرر ولا ضرار " yang bermaksud “Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan   
    tidak boleh memudharatkan orang lain”.
ii.Memberi kemudahan, sepertimana yang terkandung dalam firman Allah 185, Surah al-Baqarah yang 
     bermaksud “Allah berkehendakkan kemudahan untuk kamu dan tidak berkehendak  
    kepayahan”.
iii.Melakukan kemudharatan yang paling ringan di antara dua kemudharatan, sepertimana yang 
     terkandung dalam kaedah Fiqh yang berbunyi " ارتكا ب أخف الضررين " yang bermaksud " melakukan 
    kemudharatan yang lebih ringan ".

Hukum harus menderma dan memindahkan organ juga tertakluk kepada berbagai-bagai syarat yang pada prinsipnya menjaga berbagai kepentingan selaras dengan kehendak syariat Islam. 
Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

i.  Ia tidak akan menyebabkan penderma menanggung kemudharatan atas dirinya seperti mati atau 

     cacat seperti hilang pendengaran, penglihatan, kemampuan untuk berjalan dan sebagainya.
ii. Pemindahan berkenaan berlaku dengan izin penderma berkenaan.
iii.Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan penuh untuk

      melakukannya. Kerana itu ia tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak, orang gila, atau orang yang 
     dipengaruhi oleh tekanan atau paksaan atau kekeliruan.
iv.Ia tidak berlaku dengan cara yang mencabuli kehormatan manusia, seperti melibatkan urusan jual 

     beli. Sebaliknya ia perlu berlaku berasaskan keizinan dan pendermaan semata-mata.
v. Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas keilmuan yang cukup 

     untuk membuat pertimbangan baik buruk ke atas penderma dan penerima berasaskan prinsip
     maslahah dan mafsadah sepertimana yang terdapat dalam Syariat Islam.

>> Fatwa Kebangsaan.

“ Tiada ilmu yang lebih mulia dari ilmu mengenai yang dibenarkan dan yang diharamkan (fiqh) , perubatan (kedoktoran) adalah yang kedua selepas itu” 
(Ash-syafie: Dhahabi, At-Tibb An-Nawawi, 1986:219 and 228)




EXCO TARBIYAH DAN KEROHANIAH 2013/2014

No comments: