Friday 5 July 2013

FIQH PERUBATAN 3 : Pemisahan Rawatan Brain Death



Keputusan : 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Dec 1989 telah membincangkan Pemisahan Rawatan Brain Death. Muzakarah telah memutuskan bahawa memisahkan rawatan antara pesakit-pesakit yang telah kematian otak atau 'brain death' dengan pesakit-pesakit yang masih mempunyai peluang untuk dipulih di Unit Rawatan Rapi adalah TIDAK BERCANGGAH dengan Islam.

Keterangan/Hujah: 

Brain Death adalah istilah perubatan untuk menunjukkan keadaan pesakit yang dari segi ikhtiar kepakaran perubatan ia tidak mempunyai harapan untuk hidup disebabkan mati otak. Konsep Brain Death adalah konsep perubatan dari ilmu yang bersifat imperikal (ilmu yang menggunakan percubaan) hasil usaha ikhtiar manusia berdasarkan pada prinsip-prinsip, sebab dan akibat. Pakar-pakar Neurosurgeri, Neurologi dan Anaesthesiologi boleh menentukan sama ada otak pesakit-pesakit tersebut masih berfungsi dengan menjalankan siri ujian klinikal dan dengan menggunakan peralatan tertentu, setelah ujian dipastikan untuk kali kedua maka kes tersebut disifatkan brain death atau kematian otak walaupun jantungnya masih berdenyut.

Di antara kes-kes yang dimasukan ke Unit Rawatan Rapi itu adalah mangsa-mangsa yang mempunyai harapan tipis kerana kerosakan anggota yang teruk atau telah dapat diselamatkan tetapi pengaliran darah ke otak telah terganggu. Oleh sebab denyutan jantung mereka dapat dipulihkan, maka mereka dimasukan ke Unit Rawatan Rapi. Walaubagaimanapun kebanyakan pesakit kes ini meninggal dunia. Oleh yang demikian pihak hospital berpandangan adalah lebih baik pengasingan rawatan dilakukan di antara pesakit yang mengalami kematian otak dengan pesakit yang masih mempunyai harapan untuk pulih kerana rawatan yang berpanjangan memerlukan kos yang tinggi dan alat kelengkapan yang mencukupi.

Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa penentuan hidup dan mati seseorang itu adalah kuasa Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam Surah Yunus, ayat 49, yang bermaksud: “dan apabila telah sampai ajalnya, maka tidak akan dilewat dan tidak akan dipercepatkan walau sesaat pun”. Manakala firmanNya dalam Surah al-Kahf, ayat 84 pula menyeru supaya manusia melakukan ikhtiar dan kemudiannya bertawakkal, sepertimana maksudnya: “dan Kami beri kepadanya jalan yang menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya”.

Dalam Kaedah Fiqhiyyah terdapat beberapa kaedah atau prinsip, iaitu antaranya yang bermaksud: “Kemudharatan mengharuskan perkara yang dilarang”. Melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kematian seseorang adalah diharamkan oleh Islam. Tetapi dalam isu mengasingkan pesakit yang mengalami Brain Death ia dilakukan kerana keperluan alat-alat kecemasan tidak mencukupi sedangkan ada pesakit-pesakit lain yang mempunyai harapan untuk hidup memerlukan rawatan yang sama. Walaubagaimanapun pihak hospital hendaklah mencuba sedaya upaya menyediakan kelengkapan yang secukupnya kerana setiap pesakit berhak mendapat rawatan yang sewajarnya.

Bersesuaian dengan kaedah yang bermaksud: “Dharurat dikira mengikut keadaannya”, janganlah setiap pesakit Brain Death itu terus diasingkan kerana keharusan hukum diberikan sekiranya berlaku keadaan yang terdesak. Usaha-usaha hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab supaya rawatan terhadap pesakit Brain Death ini tidak diabaikan.

>> Fatwa Kebangsaan.
__________________________________________________________________

“ Tiada ilmu yang lebih mulia dari ilmu mengenai yang dibenarkan dan yang diharamkan (fiqh) , perubatan (kedoktoran) adalah yang kedua selepas itu” 
(Ash-syafie: Dhahabi, At-Tibb An-Nawawi, 1986:219 and 228)


EXCO TARBIYAH DAN KEROHANIAN  2013/2014

Tirai Besi Syaitan


Tik-tik-tik-tik.
Sirkulasi jari jam.
Ke kanan, lagi, lagi, ke kanan lagi.
Tak punya tali penamat.
Tanpa sekat-sekat waktu berjalan
Berjalan lambat
Tapi aku yang penat.
Penat merencat mengejar yang lambat.
Kita di padang Syaaban.
Rejab perlina dalam susur masa hijri.
Ramadhan di penjuru pintu.
Menunggu untuk dihamparkan ayat-ayat kudus sebagai aluan.
"Ahlan-ahlan"
Kata sekalian Penduduk alam merangkuh tangan Ramadhan.

Tapi--

Tetap, aku di bangsal sesal
Berteman kopi-kopi dosa
Hirup lah lagi,
Hirup!
Hirup secangkir kopi yang materialnya dosa.
Kiranya, aku maseh digari selimut bangsat perilaku.
Kiranya, aku maseh meneguk air kehidupan dengan amalan keji.
Kiranya, aku ini potensi dosa.
Dan kiranya aku ini diluar bertubuh manusia di dalam berfisikal hewan.

Tuhan,
Aku punya gudang
Yang penuh dengan usul-usul
terhijab.
Dosa-dosa lalu, sekarang dan
Mungkin kedepan.
Perkenankan usul-usul
aku, mereka, mereka, kami.
Lelah aku, kami dalam berlayar mencari,
Engkau.
Muga segala tetes keringat kami,
Kelak dipakaikan Redha-Mu.
Ampuni kami ya Rabbana,
Ampuni kami.
Ampuni.
Amin.