Saturday 11 February 2012

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL, Meriah !!

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjat ke hadrat Allah, majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat PKPMI Makassar telah pun dengan jayanya dijalankan pada pagi hari ini. Majlis sambutan ini diadakan untuk sama-sama memperingati kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dengan tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Seawal jam 7.30 pagi WITA lagi telah kelihatan pelajar-pelajar Malaysia berkumpul di sekitar Rusunawa. Mereka benar-benar bersemangat untuk berarak ke sekeliling rusun sambil melaungkan nyanyian selawat, sebagai acara penting pagi ini. Alhamdulillah, tradisi perarakan selawat dapat dijayakan tanpa halangan cuaca. Malah, suasana pagi tadi memang amat ceria !


 







Selesai berarak, semua pelajar berkumpul di kawasan yang disediakan bagi mendengar sedikit ceramah dari penceramah jemputan. Dalam ceramah ini, penceramah berkongsi serba sedikit dari kisah-kisah akhlaq mulia Rasulullah S.A.W yang berlandaskan Al-Quran.

Beberapa sesi soal jawab juga berlangsung antara pelajar dan penceramah bagi menambahkan lagi pengetahuan mengenai sosok tubuh insan paling mulia ini. Tayangan video turut disajikan buat para hadirin bagi mengisi aktiviti program.







Sebelum program berakhir, pihak penganjur mengambil inisiatif untuk memperkenalkan semula organisasi-organisasi yang terdapat untuk penglibatan para pelajar Malaysia di Makassar. Antaranya adalah PKPMI sendiri, Kelab Umno Makassar, IPEM dan IMAM-Sci.

Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari yang lazat, disediakan oleh pelajar-pelajar Malaysia Tahun Dua FKUH Makassar. Terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program PKPMI Makassar ini.

Semoga, majlis Sambutan Maulidur Rasul ini menjadi penggerak dan pemacu kepada kita semua untuk meneladani akhlak Rasul S.A.W sebagai model ikutan kita semua, insyaAllah.

Sekian.

Kepimpinan Cemerlang Mewujudkan Generasi yang Gemilang. PKPMI Makassar 2011/2012.

Wednesday 8 February 2012

Meriahkan MAULIDUR RASUL

Assalamualaikum wbt.

PKPMI Cawangan Makassar berbesar hati untuk mengadakan sambutan MAULIDUR RASUL 2012 pada tanggal 11 Februari 2012 bersamaan hari Sabtu ini. Pelbagai aktiviti akan diadakan dan tradisi berarak sambil selawat Nabi juga akan dihidupkan semula.

Tentatif program pada hari tersebut adalah seperti berikut;

7.30 pg - Berkumpul di Rusunawa
8.00 pg - Berarak keliling Rusunawa
8.40 pg - Berkumpul di Blok D
9.00 pg - Bacaan doa dan AL-QURAN
9.30 pg - Ceramah oleh ustaz jemputan
11.00 pg - Tayangan video, pengenalan kelab
12.00 tghari - Jamuan tengahari
12.30 tghari - Bersurai

Datanglah beramai-ramai memeriahkan sambutan MAULIDUR RASUL ini!!!!! :))

Friday 3 February 2012

Program Pinang Pulang ke Tampuk

Pada tahun 2012 ini, Exco Dana dan Kebajikan PKPMI Makassar  telah melancarkan satu aktiviti baru yang diberi nama "Program Pinang Pulang ke Tampuk". 

APA ITU PROGRAM PINANG PULANG KE TAMPUK?
Nama program ini diambil dari peribahasa pinang pulang ke tampuk yang membawa maksud kembali ke tempat asalnya. Bersesuaian dengan namanya, tujuan utama program ini adalah untuk mengumpul sumbangan dana dari semua alumni Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin bagi meneruskan kelangsungan aktiviti pelajar-pelajar Malaysia yang masih meneruskan pengajian di sini, melalui program-program yang telah dirancang oleh PKPMI Makassar Sesi 2011/2012. Ibarat pinang pulang ke tampuk, begitu jugalah harapan kami semua untuk para alumni agar kembali memberi khidmat dan bantuan yang termampu kepada almamater tercinta. 

 
SIAPAKAH ALUMNI FAKULTAS KEDOKTERAN UNIVERSITAS HASANUDDIN?
Dalam konteks ini, Alumni Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin ialah semua pelajar Malaysia yang pernah belajar dan sudah menamatkan pelajaran mereka di Universitas Hasanuddin. Melalui database yang disimpan, kami berjaya memperoleh nama dan alamat lengkap alumni dari batch/angkatan 2000 hingga 2006. Surat rasmi dan kertas kerja perancangan aktiviti tahunan telah dipos ke alamat masing-masing.

Surat rasmi dan kertas kerja telah dipos ke alamat alumni mulai 25 Januari 2012

APAKAH OBJEKTIF PROGRAM PINANG PULANG KE TAMPUK?
Berdasarkan pengalaman yang lalu, hambatan dari kekurangan peruntukan serta keterbatasan kemudahan/peralatan menyebabkan aktiviti-aktiviti yang dirancang mengalami masalah untuk dilaksanakan dengan sempurna. Justeru, kami amat mengharapkan sumbangan dari alumni untuk kelangsungan aktiviti yang bakal dijalankan. Kami menerima segala bentuk sumbangan sama ada dalam bentuk dana atau  keperluan yang terkait dengan aktiviti yang bakal dijalankan.

BAGAIMANA UNTUK MELAKUKAN SUMBANGAN?
Sumbangan bolehlah dilakukan ke nombor akaun seperti yang dinyatakan di bawah. Bagi alumni yang telah melakukan sumbangan, silakan email butir-butir transaksi/sumbangan anda ke email PKPMI:

            No. Akaun      : CIMB Niaga
                                   Mohamad Syawal Nizam bin Md Bakir (Bendahari PKPMI Makassar)
                                   505-01-04514-11-3
      
            Email              : pkpmi_makassar@yahoo.com

            No. Telefon       : Azwan bin Saari : +6287840678110 
                                    : Mohd Syawal Nizam bin Md Bakir : +6287841254332 
                                    : Nurintan Ruqayyah bt Mohd Hizam: +6287841649248 
                                                                                                           
            Alamat            : C-509 Rumah Susun Sederhana Sewa (RUSUNAWA),
                                     Pintu 2 Kampus UNHAS, Jl. Perintis Kemerdekaan, Tamalanrea,
                                     90245, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia


HARAPAN DARI EXCO DANA DAN KEBAJIKAN 2011/2012  
Seperti yang dinyatakan di atas, surat rasmi dan kertas kerja perancangan aktiviti tahunan telah dipos berdasarkan nama dan alamat lengkap yang diperoleh melalui database. Masih terdapat sebahagian besar surat yang tidak dikirim ke alumni kerana masalah incomplete address di dalam database PKPMI. Berkemungkinan juga surat telah dipos ke alamat lama/alamat waris alumni masing-masing dan bukannya alamat menetap sekarang. Jadi kami berharap melalui blog ini, akan meluaskan lagi hebahan tentang program ini kepada semua alumni Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin. Bagi alumni yang berminat, bolehlah mendapatkan softcopy surat rasmi dan kertas kerja program dengan mengemailkan permintaan anda ke pkpmi_makassar@yahoo.com atau terus berhubung dengan kami di Facebook PKPMI Makassar. Kami sangat mengharapkan perhatian dan kerjasama dari semua alumni. Sekian terima kasih. 


Jikalau ada lenggudi pahit,
                           Belanga baru saya jerangkan;           
Jikalau ada budi yang baik,
                 Menjadi abu saya kenangkan.