Saturday 11 February 2012

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL, Meriah !!

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjat ke hadrat Allah, majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat PKPMI Makassar telah pun dengan jayanya dijalankan pada pagi hari ini. Majlis sambutan ini diadakan untuk sama-sama memperingati kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dengan tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Seawal jam 7.30 pagi WITA lagi telah kelihatan pelajar-pelajar Malaysia berkumpul di sekitar Rusunawa. Mereka benar-benar bersemangat untuk berarak ke sekeliling rusun sambil melaungkan nyanyian selawat, sebagai acara penting pagi ini. Alhamdulillah, tradisi perarakan selawat dapat dijayakan tanpa halangan cuaca. Malah, suasana pagi tadi memang amat ceria !


 







Selesai berarak, semua pelajar berkumpul di kawasan yang disediakan bagi mendengar sedikit ceramah dari penceramah jemputan. Dalam ceramah ini, penceramah berkongsi serba sedikit dari kisah-kisah akhlaq mulia Rasulullah S.A.W yang berlandaskan Al-Quran.

Beberapa sesi soal jawab juga berlangsung antara pelajar dan penceramah bagi menambahkan lagi pengetahuan mengenai sosok tubuh insan paling mulia ini. Tayangan video turut disajikan buat para hadirin bagi mengisi aktiviti program.







Sebelum program berakhir, pihak penganjur mengambil inisiatif untuk memperkenalkan semula organisasi-organisasi yang terdapat untuk penglibatan para pelajar Malaysia di Makassar. Antaranya adalah PKPMI sendiri, Kelab Umno Makassar, IPEM dan IMAM-Sci.

Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari yang lazat, disediakan oleh pelajar-pelajar Malaysia Tahun Dua FKUH Makassar. Terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program PKPMI Makassar ini.

Semoga, majlis Sambutan Maulidur Rasul ini menjadi penggerak dan pemacu kepada kita semua untuk meneladani akhlak Rasul S.A.W sebagai model ikutan kita semua, insyaAllah.

Sekian.

Kepimpinan Cemerlang Mewujudkan Generasi yang Gemilang. PKPMI Makassar 2011/2012.

1 comment:

Jiwa0 said...

Gambar saye takde. :'(