Sunday 1 September 2013

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1434H


Pada hari Khamis, 8 Ogos 2013 bersamaan 1 Syawal 1434 H, PKPMI Makassar telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini dihadiri kira-kira 40 orang yang terdiri daripada para pelajar Malaysia yang menyambut hari raya di Makassar.

Pagi raya dimulakan dengan laungan takbir, seterusnya diikuti dengan solat sunat hari raya. Saudara Muhammad Syazwan Misran kemudian menyampaikan khutbah sejurus selepas solat sunat hari raya ini, dengan bertemakan Perpaduan.

Aktiviti gotong-royong untuk persiapan bagi menyambut hari raya dilakukan sejak pagi hari Rabu. Bagi menyiapkan segala persiapan, semua pelajar di beri tanggungjawab masing-masing yang harus dilakukan. Ada antaranya yang membersihkan tempat, menyiapkan bahan masakan, menyediakan lemang dan pelbagai lagi. Persiapan untuk hari raya kali ini berlanjutan sehingga lewat malam. Tetapi semua pelajar dapat merasa keindahan suasana berhari raya di perantauan.

Juadah yang disediakan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini sama sahaja seperti tahun yang sebelumnya. Seperti nasi impit, lemang, rending dan sebagainya. Bagi melancarkan urusan menyediakan hidangan atau juadah, pelajar di beri tugasan untuk menyiapkan setiap meu yang ditetapkan.

Selesai solat sunat hari raya, jamuan makan dimulakan. Antara juadah yang disediakan adalah seperti rending, lemang, ketupat dan pelbagai jenis kuih. Minuman yang tersedia pula ialah air sirup. Apa yang menarik adalah makanan disediakan di dalam talam. Seramai lima orang pelajar berkongsi satu talam. Acara seperti ini boleh mewujudkan kemesraan dan kasih sayang serta mengeratkan tali silaturrahim di kalangan pelajar. Ia juga merupakan satu pengalaman yang baru bagi mereka yang belum pernah makan menggunakan talam. 

 Alhamdulillah, Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434H telah berjalan dengan jayanya. Sememangnya, masih ada beberapa cacat-cela sepanjang aktiviti ini berlangsung, namun diharap kelemahan ini tidak membayangi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang telah dijalankan ini, dan kelemahan ini diharap dapat diperbaiki untuk aktiviti-aktiviti PKPMI yang seterusnya. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua komuniti Malaysia yang telah bersama-sama menggembleng tenaga untuk menjayakan aktiviti. Tanpa kerjasama dari semua pihak, pastinya program ini akan terasa hambar. Terima kasih yang tak terhingga diucapkan sekali lagi. Akhir kata, semoga Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434H kali ini mencapai objektifnya. Sekian, wassalam.






No comments: