Thursday 4 December 2008

Sekapur Sireh Dari Presiden

Sesungguhnya segala puji milik Allah Ta`la. Aku memuji, meminta pertolongan, dan memohon ampun kepadaNya. Aku juga memohon perlindungan kepadaNya dari kejahatan nafsuku dan kehinaan perbuatanku. Barang siapa diberi hidayah oleh Allah, maka tidak ada siapa yang mampu menyesatkannya, dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada yang mampu memberinya hidayah. Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam ke atas baginda, keluarganya, sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Amma ba`du.

Alhamdulillah setelah berakhirnya pilihanraya PKPMI sesi 2008/2009,maka bermulalah tugas saya sebagai presiden PKPMI sesi 08/09. Menyedari hakikat bahawa bukan mudah untuk memimpin komuniti ini seorang diri, maka jawatankuasa PKPMI yang baru telah pun dibentuk pada 29 November 2008. Sekalung penghargaan dan syabas saya ucapkan kepada exco-exco yang telah terpilih untuk menggalas tanggungjawab ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas pengorbanan anda semua untuk komuniti ini. Diharap anda dapat melaksanakan tugas ini dengan penuh rasa tanggungjawab, amanah, berhemah dan ikhlas.

Ahli PKPMI sekalian.

Sedar atau tidak sedar bilangan komuniti kita makin lama makin bertambah. Ditambah lagi dengan latarbelakang sosial yang cukup berbeza. Hal ini menyebabkan cabaran PKPMI untuk menjaga kepentingan semua ahli semakin sukar. Namun, amatlah besar harapan saya untuk melihat seluruh ahli keluarga ini bersatu di bawah bumbung PKPMI agar kita dapat saling tolong-menolong dan berkasih sayang di antara satu sama lain. Kita harus sedar bahawa cabaran dalam merealisasikan impian ini bukanlah terletak di bahu AJK sahaja tetapi ia adalah tugas dan tanggungjawab kita semua. Jadi, saya menyeru kepada semua warga PKPMI supaya kita kembali bersatu dalam segala perkara. Lupakanlah persengketaan yang pernah wujud di antara kita. Maafkanlah saudara-saudara kita yang pernah menyakiti kita. Hubungkanlah kembali silaturrahim yang pernah terputus di antara kita dengan kerendahan hati. Janganlah kita menyakiti antara satu dengan yang lain dengan kata-kata yang berbisa. Marilah kita bersama-sama mengubah diri kita ke arah kebaikan dan sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum melainkan mereka mengubahnya sendiri.

Selain itu, saya juga berharap agar setiap dari kita menanamkan rasa cinta terhadap PKPMI sepertimana rasa cinta kita terhadap keluarga sendiri. Setiap ahli PKPMI merupakan saudara. Jatuh bangun kita bersama-sama. Seandainya terjadi sesuatu dalam keluarga ini,janganlah kita asyik menunding jari ke arah orang lain. Sebaliknya setiap dari kita harus merasa bertanggungjawab terhadap keluarga ini baik AJK mahupun ahli biasa kerana PKPMI adalah milik semua. Segala perselisihan yang timbul haruslah diselesaikan dengan cara yang berhemah dan dewasa. Di samping itu juga, PKPMI sedar betapa pentingnya wadah atau medium interaksi di dalam komuniti. Justeru, PKPMI telah mewujudkan blog ini sebagai alternatif kepada seluruh komuniti untuk berkongsi pendapat,menyampaikan nasihat dan kritikan membina. Jadi, gunakanlah blog ini sebagai jentera perpaduan dan bukannya jentera perpecahan. Gunakanlah bahasa yang sopan dan mulia kerana itu sudah menjadi kewajiban setiap umat Islam. Islam tidak melarang kita berkomentar tetapi ketertiban dan kesopanan haruslah dititikberatkan. Bagi yang bukan muslim,saya yakin dan percaya setiap agama,budaya dan adat resam mengajar kita untuk bersopan santun dan berbudi bahasa yang wajar kita ambil sebagai panduan dalam setiap apa yang kita lakukan.

Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama memperbaiki diri kita dan berusaha sedaya upaya kita menjaga keharmonian komuniti ini. Sekian dari saya, wassalam.....

No comments: