Tuesday, 28 August 2012

Minggu Akademik 2012

Program Minggu Akademik bagi tahun 2012 telah berlangsung pada 14 hingga 19 Mei 2012. Acara ini diadakan di sekitar kawasan Rusunawa UNHAS dan di sekitar Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin. Program ini dianjurkan oleh PKPMI Makassar dengan kerjasama IPEM,IMAM dan Kelab UMNO Luar Negara cawangan Makassar. Antara acara yang diadakan adalah program jualan makanan dan minuman oleh pelajar-pelajar Malaysia tetapi bagi edisi kali ini, gerai hanya dikhususkan untuk wakil kelab-kelab sahaja. Selain itu terdapat juga jualan buku ilmiah yang mendapat  sambutan hangat khususnya daripada para pelajar Malaysia di sini.

Persiapan gerai jualan

kesibukan gerai dengan pembeli


Di samping itu, permainan tradisional juga telah diadakan bagi mendekatkan diri  pelajar dengan warisan nenek moyang kita sejak dahulu lagi. Terdapat juga pertandingan yang dianjurkan oleh kelab-kelab seperti IMAM dan IPEM. Antara pertandingan yang menarik perhatian adalah pertandingan bahas ala parlimen antara angkatan yang diungguli oleh angkatan 2011.

wakil KOAS

wakil angkatan 2011

pemenang pertandingan bahas ala parlimen


Thursday, 16 August 2012

Lawatan Kerja KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu Serta Delegasi Yayasan Diraja Sultan Mizan dan Kerajaan Negeri Terengganu

Pada 07 Mei 2012 (Isnin), keberangkatan tiba KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu diiringi YAB Menteri Besar Terengganu dan isteri, YB Ahli Dewan PangkuanDiRaja dan isteri serta rombongan istana. Menggunakan Pesawat Khas di sambut secara resmi oleh Bapak Gubernur Provinsi Sulawesi Selatan, Pejabat Pemprov, Unsur Muspida, Setiausaha Kerajaan Terengganu, beberapa anggota EXCO Kerajaan Negeri Terengganu, Datu’ Bandar (Walikota), Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Pegawai-pegawai kerajaan serta pelajar-pelajar Malaysia di Makassar. Pelajar beratur menyambut ketibaan Tuanku Sultan Mizan dan berpeluang bersalaman dengan Tuanku Sultan Mizan dan Tuanku Sultanah Zahirah.








Pelajar Malaysia di Bandara Sultan Hasanuddin Gowa


Pada jam 1.00 petang keesokan harinya, KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu & delegasi berangkat  ke SMA 1 Makassar untuk merasmikan dan meraikan acara yang telah dijalankan di SMA 1 Makassar. Kemudian, pada jam 3.30 petang, KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu berangkat ke Hasanuddin University Teaching Hospital. KDYMM Sultan dan KDYMM Sultanah Terengganu disambut dengan meriah oleh semua pelajar-pelajar Malaysia di Makassar yang lengkap bersarung blazer rasmi Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin. Acara diteruskan di dalam Auditorium Hasanuddin University Teaching Hospital, rombongan dialu-alukan oleh Rektor Unhas, Prof. dr. Idrus Paturussi.

Pelajar puteri batch 2011

Sambutan pelajar di Hasanuddin University Teaching Hospital

Tuanku Sultanah Zahirah bersama pelajar

 Suasana di Auditoriun Hasanuddin University Teaching Hospital

Rektor Universitas Hasanuddin bersama KDYMM Sultan Terengganu

Kemuncak acara adalah pada hari Rabu, 09 Mei 2012. Pada jam 7.15 malam, bertempat di Hotel Sahid Jaya Makassar diadakan Jamuan Balas Makan Malam dari Delegasi Terengganu untuk Tetamu Pemerintah Provinsi Sulawesi Selatan dan Majlis Menandatangani MOU antara Pemerintah Terengganu dan Pemerintah Provinsi Sulawesi Selatan serta Majlis Menandatangani MOU antara Rektor UNHAS dan Pengarah Yayasan Terengganu. Majlis ini dihadiri oleh Bapak Gubernur Sulawesi Selatan beserta Isteri dan Undangan. Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran pelajar-pelajar Terengganu di Makassar seramai 23 orang dan 20 orang wakil PKPMI Makassar. 


Anak-Anak Terengganu

Exco PKPMI Makassar

 Tuanku Sultan Mizan & Tuanku Sultanah Zahirah

Pelajar UNHAS dari Malaysia

Kami mewakili semua pelajar Malaysia di Makassar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuanku Sultan Mizan dan Tuanku Sultanah Zahirah yang mencemar duli melawat Makassar.

Wednesday, 15 August 2012

Hari Kantin 2012

Program Hari Kantin 2012 pertama kali dianjurkan oleh PKPMI Makassar pada 31 Mac 2012, hari Sabtu dari jam 10 pagi hingga 5 petang. Objektif program ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturrahim di antara seluruh mahasiswa Malaysia yang merupakan warga keluarga PKPMI Cawangan Makassar dan mengembalikan kembali nostalgia zaman persekolahan.

Pada hari berkenaan, sebanyak 6 gerai makanan yang dibuka. Gerai makanan ini di usahakan oleh para pelajar Malasia sendiri. Antaranya ialah gerai Nasi Hujan Panas, Nasi bukhari, kuih- muih, dadih yang dijual oleh para pelajar dari angkatan 2009, Ikan bakar dari pelajar angkatan 2011, cupcakes dari pelajar 2010, capati dari pelajar-pelajar India dan macam macam lagi. Exco – Exco PKPMI Makassar juga tidak ketinggalan menjalankan jualan seperti minuman, nasi lemak berlauk, nasik ayam dan roti jala. 



Selain daripada makanan dan minuman, terdapat juga peniaga yang menjual buku- buku agama dan buku motivasi. Jualan buku buku ini juga mendapat sambutan hangat daripada pembeli. 


Secara keseluruhannya, PKPMI telah merancang 7 jenis permainan. Antaranya ialah melukis dan mewarna, chess, build a tower, water balloon war, throw the balls dan balloon popping games. Hadiah juga diberikan kepada para pemenang. Permainan yang disediakan ini telah mendapat sambutan yang hangat daripada para pengunjung.

Penjualan Garage sale oleh senior yang bakal pulang ke Malaysia pada Hari Kantin boleh diibaratkan sebagai pisang goreng panas.  Gerai mula dibuka pada jam 10 pagi dan pada jam 12 tengahari, hampir semua barang yang dijual  habis diborong oleh pengunjung. Ini disebabkan kerana, barang- barang yang dijual adalah jauh lebih murah berbanding jualan kedai. Antara jualanya ialah, alamari buku, meja belajar, lampu meja, peti ais, buku buku dan macam macam lagi.

Selain daripada itu, Exco Akademik PKPMI Makassar juga menjalankan pameran Hari Kasehatan Sedunia.   Brochure diedarkan kepada semua yang hadir.

Tuesday, 13 March 2012

Sewa Tapak Untuk Hari Kantin Kini Dibuka ! ^_^




Assalamualaikum w.b.t.

Bagaimana kesihatan pembaca-pembaca sekalian? Diharap anda semua diberi kesihatan oleh Allah.. InsyaAllah..

Ada tak yang sakit demam rindu pada Malaysia? Maklumlah, kita duduk diperantauan kan. Tempat jauh lagi dikenang. Jadi, dengan berbesar hatinya, AJK PKPMI Makassar telah merancang untuk mengadakan Hari Kantin pada suatu tarikh. InsyaAllah, akan ada tapak-tapak gerai yang akan dibuka.

Jadi, siapa yang akan berniaga? Anda lah orangnya. Di sini dengan berbesar hatinya dibuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk membuka gerai jualan ketika hari kantin, bolehlah berhubung terus dengan AJK PKPMI iaitu Nursyimaa, Angkatan 2010 di nombor talian 085696536781 , sebelum atau selewat-lewatnya 18 MAC 2012.

Anda boleh berjualan apa sahaja. Makanan, buku-buku, baju-baju, atau tudung-tudung. Sewa tapak yang dikenakan adalah amat murah, iaitu Rp 25.000 sahaja, dan cagaran tapak juga Rp 25.000. jadi, tunggu apa lagi? Marilah sama-sama memeriahkan Hari Kantin ini, sambil tambah wang saku. ;)

Sebarang pertanyaan bolehlah berhubung dengan AJK PKPMI. Ingat ya, daftar nama sebelum 18 MAC 2011 !

Hingga bertemu lagi. Assalamualaikum. ;)

Saturday, 11 February 2012

SAMBUTAN MAULIDUR RASUL, Meriah !!

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjat ke hadrat Allah, majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat PKPMI Makassar telah pun dengan jayanya dijalankan pada pagi hari ini. Majlis sambutan ini diadakan untuk sama-sama memperingati kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W dengan tema Persefahaman Asas Perpaduan Ummah.

Seawal jam 7.30 pagi WITA lagi telah kelihatan pelajar-pelajar Malaysia berkumpul di sekitar Rusunawa. Mereka benar-benar bersemangat untuk berarak ke sekeliling rusun sambil melaungkan nyanyian selawat, sebagai acara penting pagi ini. Alhamdulillah, tradisi perarakan selawat dapat dijayakan tanpa halangan cuaca. Malah, suasana pagi tadi memang amat ceria !


 







Selesai berarak, semua pelajar berkumpul di kawasan yang disediakan bagi mendengar sedikit ceramah dari penceramah jemputan. Dalam ceramah ini, penceramah berkongsi serba sedikit dari kisah-kisah akhlaq mulia Rasulullah S.A.W yang berlandaskan Al-Quran.

Beberapa sesi soal jawab juga berlangsung antara pelajar dan penceramah bagi menambahkan lagi pengetahuan mengenai sosok tubuh insan paling mulia ini. Tayangan video turut disajikan buat para hadirin bagi mengisi aktiviti program.







Sebelum program berakhir, pihak penganjur mengambil inisiatif untuk memperkenalkan semula organisasi-organisasi yang terdapat untuk penglibatan para pelajar Malaysia di Makassar. Antaranya adalah PKPMI sendiri, Kelab Umno Makassar, IPEM dan IMAM-Sci.

Majlis berakhir dengan jamuan makan tengahari yang lazat, disediakan oleh pelajar-pelajar Malaysia Tahun Dua FKUH Makassar. Terima kasih diucapkan kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program PKPMI Makassar ini.

Semoga, majlis Sambutan Maulidur Rasul ini menjadi penggerak dan pemacu kepada kita semua untuk meneladani akhlak Rasul S.A.W sebagai model ikutan kita semua, insyaAllah.

Sekian.

Kepimpinan Cemerlang Mewujudkan Generasi yang Gemilang. PKPMI Makassar 2011/2012.

Wednesday, 8 February 2012

Meriahkan MAULIDUR RASUL

Assalamualaikum wbt.

PKPMI Cawangan Makassar berbesar hati untuk mengadakan sambutan MAULIDUR RASUL 2012 pada tanggal 11 Februari 2012 bersamaan hari Sabtu ini. Pelbagai aktiviti akan diadakan dan tradisi berarak sambil selawat Nabi juga akan dihidupkan semula.

Tentatif program pada hari tersebut adalah seperti berikut;

7.30 pg - Berkumpul di Rusunawa
8.00 pg - Berarak keliling Rusunawa
8.40 pg - Berkumpul di Blok D
9.00 pg - Bacaan doa dan AL-QURAN
9.30 pg - Ceramah oleh ustaz jemputan
11.00 pg - Tayangan video, pengenalan kelab
12.00 tghari - Jamuan tengahari
12.30 tghari - Bersurai

Datanglah beramai-ramai memeriahkan sambutan MAULIDUR RASUL ini!!!!! :))

Friday, 3 February 2012

Program Pinang Pulang ke Tampuk

Pada tahun 2012 ini, Exco Dana dan Kebajikan PKPMI Makassar  telah melancarkan satu aktiviti baru yang diberi nama "Program Pinang Pulang ke Tampuk". 

APA ITU PROGRAM PINANG PULANG KE TAMPUK?
Nama program ini diambil dari peribahasa pinang pulang ke tampuk yang membawa maksud kembali ke tempat asalnya. Bersesuaian dengan namanya, tujuan utama program ini adalah untuk mengumpul sumbangan dana dari semua alumni Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin bagi meneruskan kelangsungan aktiviti pelajar-pelajar Malaysia yang masih meneruskan pengajian di sini, melalui program-program yang telah dirancang oleh PKPMI Makassar Sesi 2011/2012. Ibarat pinang pulang ke tampuk, begitu jugalah harapan kami semua untuk para alumni agar kembali memberi khidmat dan bantuan yang termampu kepada almamater tercinta. 

 
SIAPAKAH ALUMNI FAKULTAS KEDOKTERAN UNIVERSITAS HASANUDDIN?
Dalam konteks ini, Alumni Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin ialah semua pelajar Malaysia yang pernah belajar dan sudah menamatkan pelajaran mereka di Universitas Hasanuddin. Melalui database yang disimpan, kami berjaya memperoleh nama dan alamat lengkap alumni dari batch/angkatan 2000 hingga 2006. Surat rasmi dan kertas kerja perancangan aktiviti tahunan telah dipos ke alamat masing-masing.

Surat rasmi dan kertas kerja telah dipos ke alamat alumni mulai 25 Januari 2012

APAKAH OBJEKTIF PROGRAM PINANG PULANG KE TAMPUK?
Berdasarkan pengalaman yang lalu, hambatan dari kekurangan peruntukan serta keterbatasan kemudahan/peralatan menyebabkan aktiviti-aktiviti yang dirancang mengalami masalah untuk dilaksanakan dengan sempurna. Justeru, kami amat mengharapkan sumbangan dari alumni untuk kelangsungan aktiviti yang bakal dijalankan. Kami menerima segala bentuk sumbangan sama ada dalam bentuk dana atau  keperluan yang terkait dengan aktiviti yang bakal dijalankan.

BAGAIMANA UNTUK MELAKUKAN SUMBANGAN?
Sumbangan bolehlah dilakukan ke nombor akaun seperti yang dinyatakan di bawah. Bagi alumni yang telah melakukan sumbangan, silakan email butir-butir transaksi/sumbangan anda ke email PKPMI:

            No. Akaun      : CIMB Niaga
                                   Mohamad Syawal Nizam bin Md Bakir (Bendahari PKPMI Makassar)
                                   505-01-04514-11-3
      
            Email              : pkpmi_makassar@yahoo.com

            No. Telefon       : Azwan bin Saari : +6287840678110 
                                    : Mohd Syawal Nizam bin Md Bakir : +6287841254332 
                                    : Nurintan Ruqayyah bt Mohd Hizam: +6287841649248 
                                                                                                           
            Alamat            : C-509 Rumah Susun Sederhana Sewa (RUSUNAWA),
                                     Pintu 2 Kampus UNHAS, Jl. Perintis Kemerdekaan, Tamalanrea,
                                     90245, Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia


HARAPAN DARI EXCO DANA DAN KEBAJIKAN 2011/2012  
Seperti yang dinyatakan di atas, surat rasmi dan kertas kerja perancangan aktiviti tahunan telah dipos berdasarkan nama dan alamat lengkap yang diperoleh melalui database. Masih terdapat sebahagian besar surat yang tidak dikirim ke alumni kerana masalah incomplete address di dalam database PKPMI. Berkemungkinan juga surat telah dipos ke alamat lama/alamat waris alumni masing-masing dan bukannya alamat menetap sekarang. Jadi kami berharap melalui blog ini, akan meluaskan lagi hebahan tentang program ini kepada semua alumni Fakultas Kedokteran Universitas Hasanuddin. Bagi alumni yang berminat, bolehlah mendapatkan softcopy surat rasmi dan kertas kerja program dengan mengemailkan permintaan anda ke pkpmi_makassar@yahoo.com atau terus berhubung dengan kami di Facebook PKPMI Makassar. Kami sangat mengharapkan perhatian dan kerjasama dari semua alumni. Sekian terima kasih. 


Jikalau ada lenggudi pahit,
                           Belanga baru saya jerangkan;           
Jikalau ada budi yang baik,
                 Menjadi abu saya kenangkan.