Wednesday, 30 October 2013

SAMBUTAN HARI RAYA AIDIL ADHA 1434H


Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh,
Seperti kelaziman tahunan, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 11 Zulhijjah setiap tahun.Umat Islam akan mengadakan berbagai aktiviti dalam acara sambutan Hari Raya Aidiladha. Sempena itu, PKPMI telah bersepakat untuk melaksanakan sambutan Hari Raya Aidiladha di Makassar. Seperti tahun-tahun yang sebelumnya, sebilangan besar pelajar Malaysia di Makassar akan meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha di sini kerana keterbatasan waktu dan kesibukan yang menghalang pelajar pulang ke Malaysia.. Untuk memeriahkan majlis sambutan pelajar-pelajar Malaysia di Makassar, pada tahun ini jawatankuasa pelaksana sambutan Hari Raya Aidiladha PKPMI 2012/2013 telah merangka dan menyusun beberapa aturcara program.  

Pada hari Selasa, 15 Oktober 2013 bersamaan 11 Zulhijjah 1434 H, PKPMI Makassar telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidiladha. Majlis ini dihadiri kira-kira 400 orang yang terdiri daripada para pelajar Malaysia yang menyambut hari raya di Makassar.













Monday, 23 September 2013

SAMBUTAN KEMERDEKAAN KE-56 DAN HARI MALAYSIA


Assalamua'laikum warahmatullahi wabarakatuh,
PKPMI Cawangan Makassar telah mengadakan sebuah sambutan bagi memperingati Hari Kemerdekaan Malaysia Yang ke-56 dan juga Hari Malaysia. Sambutan telah diadakan bermula pada 12 September hingga 15 September 2013. Sambutan ini diadakan bagi memupuk semangat cintakn negara dalam kalangan pelajar Malaysia di sini.
Pada 12 September 2013,khamis,IMAM telah bersama-sama menganjurkan ceramah kemerdekaan di aula.
Kemudian,pada hari Ahad,15 September 2013 sambutan diteruskan lagi dengan acara-acara menarik seperti Explorace Kemerdekaan yang berlangsung di sekitar Makassar, Jualan Hari Kemerdekaan dan Permainan Tradisional di Rusunawa UNHAS, Tayangan Kemerdekaan di Aula Rusunawa. Majlis Penutupan telah diadakan di LT5,Fakultas Kedokteran UNHAS.Majlis berakhir dengan jayanya pada pukul 6 petang.



















Sunday, 1 September 2013

SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 1434H


Pada hari Khamis, 8 Ogos 2013 bersamaan 1 Syawal 1434 H, PKPMI Makassar telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini dihadiri kira-kira 40 orang yang terdiri daripada para pelajar Malaysia yang menyambut hari raya di Makassar.

Pagi raya dimulakan dengan laungan takbir, seterusnya diikuti dengan solat sunat hari raya. Saudara Muhammad Syazwan Misran kemudian menyampaikan khutbah sejurus selepas solat sunat hari raya ini, dengan bertemakan Perpaduan.

Aktiviti gotong-royong untuk persiapan bagi menyambut hari raya dilakukan sejak pagi hari Rabu. Bagi menyiapkan segala persiapan, semua pelajar di beri tanggungjawab masing-masing yang harus dilakukan. Ada antaranya yang membersihkan tempat, menyiapkan bahan masakan, menyediakan lemang dan pelbagai lagi. Persiapan untuk hari raya kali ini berlanjutan sehingga lewat malam. Tetapi semua pelajar dapat merasa keindahan suasana berhari raya di perantauan.

Juadah yang disediakan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini sama sahaja seperti tahun yang sebelumnya. Seperti nasi impit, lemang, rending dan sebagainya. Bagi melancarkan urusan menyediakan hidangan atau juadah, pelajar di beri tugasan untuk menyiapkan setiap meu yang ditetapkan.

Selesai solat sunat hari raya, jamuan makan dimulakan. Antara juadah yang disediakan adalah seperti rending, lemang, ketupat dan pelbagai jenis kuih. Minuman yang tersedia pula ialah air sirup. Apa yang menarik adalah makanan disediakan di dalam talam. Seramai lima orang pelajar berkongsi satu talam. Acara seperti ini boleh mewujudkan kemesraan dan kasih sayang serta mengeratkan tali silaturrahim di kalangan pelajar. Ia juga merupakan satu pengalaman yang baru bagi mereka yang belum pernah makan menggunakan talam. 

 Alhamdulillah, Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434H telah berjalan dengan jayanya. Sememangnya, masih ada beberapa cacat-cela sepanjang aktiviti ini berlangsung, namun diharap kelemahan ini tidak membayangi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang telah dijalankan ini, dan kelemahan ini diharap dapat diperbaiki untuk aktiviti-aktiviti PKPMI yang seterusnya. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua komuniti Malaysia yang telah bersama-sama menggembleng tenaga untuk menjayakan aktiviti. Tanpa kerjasama dari semua pihak, pastinya program ini akan terasa hambar. Terima kasih yang tak terhingga diucapkan sekali lagi. Akhir kata, semoga Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1434H kali ini mencapai objektifnya. Sekian, wassalam.






Thursday, 1 August 2013

PROGRAM IFTAR RAMADHAN BERSAMA ANAK-ANAK YATIM 2013


Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
pada tanggal 23 Julai 2013 bersamaan 14 Ramadhan 1434 H. Pihak PKPMI Makassar telah menganjurkan satu lagi program amal iaitu Program Iftar Ramadhan Bersama Anak Yatim 2013 dengan iringan tema Sinar Harapan Ramadhan. Program ini dilaksanakan dengan memilih Pesantren Ulul-Albab yang terletak di daerah Sudiang sebagai lokasinya.
Antara aktiviti yang dijalankan bersama anak-anak yatim ialah sesi ta’aruf, beriadah bersama seperti bermain bola sepak dan bola tampar bagi anak yatim lelaki. Sedikit pencerahan tentang malam lailatul qadar disampaikan dan bermain kotak musik bersama dengan anak yatim perempuan. Kemudian dilanjutkan aktiviti berbuka puasa bersama dengan santapan ringan iaitu kuih muih dan melaksanakan  solat maghrib secara berjamaah. Setelah itu,makanan pula diagihkan kepada anak-anak yatim dan sumbangan turut diberikan pada pengetua pesantren ini. Pada akhir sesi, diadakan aktiviti bergambar bersama anak-anak yatim. 
Menerusi program amal seperti ini diharapkan dapat menimbulkan rasa kesyukuran atas nikmat yang ada dan belas kasihan terhadap insan yang lebih memerlukan .Bersamalah untuk tetap bersemangat dalam memastikan program ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa. Sekian, selamat menjalani ibadah puasa kepada seluruh warga PKPMI.


“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”(Al-Baqarah ayat 195)

















Friday, 5 July 2013

FIQH PERUBATAN 3 : Pemisahan Rawatan Brain Death



Keputusan : 

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-25 yang bersidang pada 13 Dec 1989 telah membincangkan Pemisahan Rawatan Brain Death. Muzakarah telah memutuskan bahawa memisahkan rawatan antara pesakit-pesakit yang telah kematian otak atau 'brain death' dengan pesakit-pesakit yang masih mempunyai peluang untuk dipulih di Unit Rawatan Rapi adalah TIDAK BERCANGGAH dengan Islam.

Keterangan/Hujah: 

Brain Death adalah istilah perubatan untuk menunjukkan keadaan pesakit yang dari segi ikhtiar kepakaran perubatan ia tidak mempunyai harapan untuk hidup disebabkan mati otak. Konsep Brain Death adalah konsep perubatan dari ilmu yang bersifat imperikal (ilmu yang menggunakan percubaan) hasil usaha ikhtiar manusia berdasarkan pada prinsip-prinsip, sebab dan akibat. Pakar-pakar Neurosurgeri, Neurologi dan Anaesthesiologi boleh menentukan sama ada otak pesakit-pesakit tersebut masih berfungsi dengan menjalankan siri ujian klinikal dan dengan menggunakan peralatan tertentu, setelah ujian dipastikan untuk kali kedua maka kes tersebut disifatkan brain death atau kematian otak walaupun jantungnya masih berdenyut.

Di antara kes-kes yang dimasukan ke Unit Rawatan Rapi itu adalah mangsa-mangsa yang mempunyai harapan tipis kerana kerosakan anggota yang teruk atau telah dapat diselamatkan tetapi pengaliran darah ke otak telah terganggu. Oleh sebab denyutan jantung mereka dapat dipulihkan, maka mereka dimasukan ke Unit Rawatan Rapi. Walaubagaimanapun kebanyakan pesakit kes ini meninggal dunia. Oleh yang demikian pihak hospital berpandangan adalah lebih baik pengasingan rawatan dilakukan di antara pesakit yang mengalami kematian otak dengan pesakit yang masih mempunyai harapan untuk pulih kerana rawatan yang berpanjangan memerlukan kos yang tinggi dan alat kelengkapan yang mencukupi.

Di dalam al-Quran dinyatakan bahawa penentuan hidup dan mati seseorang itu adalah kuasa Allah s.w.t. sebagaimana firmanNya dalam Surah Yunus, ayat 49, yang bermaksud: “dan apabila telah sampai ajalnya, maka tidak akan dilewat dan tidak akan dipercepatkan walau sesaat pun”. Manakala firmanNya dalam Surah al-Kahf, ayat 84 pula menyeru supaya manusia melakukan ikhtiar dan kemudiannya bertawakkal, sepertimana maksudnya: “dan Kami beri kepadanya jalan yang menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya”.

Dalam Kaedah Fiqhiyyah terdapat beberapa kaedah atau prinsip, iaitu antaranya yang bermaksud: “Kemudharatan mengharuskan perkara yang dilarang”. Melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan kematian seseorang adalah diharamkan oleh Islam. Tetapi dalam isu mengasingkan pesakit yang mengalami Brain Death ia dilakukan kerana keperluan alat-alat kecemasan tidak mencukupi sedangkan ada pesakit-pesakit lain yang mempunyai harapan untuk hidup memerlukan rawatan yang sama. Walaubagaimanapun pihak hospital hendaklah mencuba sedaya upaya menyediakan kelengkapan yang secukupnya kerana setiap pesakit berhak mendapat rawatan yang sewajarnya.

Bersesuaian dengan kaedah yang bermaksud: “Dharurat dikira mengikut keadaannya”, janganlah setiap pesakit Brain Death itu terus diasingkan kerana keharusan hukum diberikan sekiranya berlaku keadaan yang terdesak. Usaha-usaha hendaklah dilakukan dengan penuh tanggungjawab supaya rawatan terhadap pesakit Brain Death ini tidak diabaikan.

>> Fatwa Kebangsaan.
__________________________________________________________________

“ Tiada ilmu yang lebih mulia dari ilmu mengenai yang dibenarkan dan yang diharamkan (fiqh) , perubatan (kedoktoran) adalah yang kedua selepas itu” 
(Ash-syafie: Dhahabi, At-Tibb An-Nawawi, 1986:219 and 228)


EXCO TARBIYAH DAN KEROHANIAN  2013/2014

Tirai Besi Syaitan


Tik-tik-tik-tik.
Sirkulasi jari jam.
Ke kanan, lagi, lagi, ke kanan lagi.
Tak punya tali penamat.
Tanpa sekat-sekat waktu berjalan
Berjalan lambat
Tapi aku yang penat.
Penat merencat mengejar yang lambat.
Kita di padang Syaaban.
Rejab perlina dalam susur masa hijri.
Ramadhan di penjuru pintu.
Menunggu untuk dihamparkan ayat-ayat kudus sebagai aluan.
"Ahlan-ahlan"
Kata sekalian Penduduk alam merangkuh tangan Ramadhan.

Tapi--

Tetap, aku di bangsal sesal
Berteman kopi-kopi dosa
Hirup lah lagi,
Hirup!
Hirup secangkir kopi yang materialnya dosa.
Kiranya, aku maseh digari selimut bangsat perilaku.
Kiranya, aku maseh meneguk air kehidupan dengan amalan keji.
Kiranya, aku ini potensi dosa.
Dan kiranya aku ini diluar bertubuh manusia di dalam berfisikal hewan.

Tuhan,
Aku punya gudang
Yang penuh dengan usul-usul
terhijab.
Dosa-dosa lalu, sekarang dan
Mungkin kedepan.
Perkenankan usul-usul
aku, mereka, mereka, kami.
Lelah aku, kami dalam berlayar mencari,
Engkau.
Muga segala tetes keringat kami,
Kelak dipakaikan Redha-Mu.
Ampuni kami ya Rabbana,
Ampuni kami.
Ampuni.
Amin.


Saturday, 29 June 2013

FIQH PERUBATAN 2 : Hukum Menggunakan Kaedah Autopsi Maya Sebagai Alternatif Kepada Bedah Siasat Mayat



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kaedah Autopsi Maya Sebagai Alternatif Kepada Bedah Siasat Mayat. Muzakarah telah memutuskan bahawa Penggunaan kaedah Autopsi Maya (Virtual Autopsy) dalam bedah siasat mayat jika memenuhi keperluan, WAJIB DIBERI KEUTAMAAN berbanding kaedah bedah siasat yang diamalkan sekarang.

Keterangan/Hujah: 

Kaedah ini merupakan kaedah teknologi pengimejan yang biasanya dilakukan ke atas pesakit hidup sebagai salah satu prosedur pemeriksaan atau mengesan suatu penyakit seperti ketumbuhan, kanser dan sebagainya. Kaedah yang sama boleh lakukan ke atas mayat yang bertujuan mengenalpasti punca kematian tanpa menyentuh mayat tersebut.


Kombinasi sistem 3-D Computed Tomography (CT) dan teknik Imejan Resonans Magnetik atau magnetic resonance imaging (MRI) yang dibangunkan ini dikenali sebagai “Virtopsy”. Ia menggunakan 7.0-Tesla magnet ke atas mayat berbanding 1.5 atau 3.0-Tesla magnet yang digunakan ke atas pesakit hidup. Kadar radiasi tinggi yang digunakan ke atas mayat membolehkan imej yang dihasilkan lebih bermutu. Imej yang dihasilkan dari kaedah ini membolehkan mayat diperiksa dari pelbagai sudut yang dikehendaki tanpa memusnahkan bukti-bukti forensik yang diperlukan. Malah penelitian, pengamatan dan pemeriksaan ini boleh dilakukan secara terperinci dengan melakukan pemotongan secara maya dan boleh disaksikan berulang-ulang kali. Ini adalah di antara kelebihan autopsi digital berbanding dengan autopsi klasik yang mempunyai beberapa limitasi seperti masalah pemerhatian tunggal yang hanya terhad kepada pakar forensik yang terlibat dengan bedah siasat dan pembentukan semula organ atau tisu yang diawet yang mungkin merubah bukti forensik.

Islam mengajar agar umatnya memuliakan orang-orang yang telah meninggal dunia ((إحترام الاموات. Melakukan kemudharatan yang boleh mencacatkan secara fizikal orang yang telah meninggal merupakan satu penganiayaan dan pencerobohan ke atas maruah serta kehormatan mayat. Oleh itu, autopsi terutama autopsi klasik adalah satu bidang medikal yang dianggap sensitif bukan sahaja dari segi agama tetapi juga oleh budaya masyarakat negara ini.


Hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang melarang Menyakiti Mayat:

a.hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Imam Ahmad yang bermaksud : Daripada Saidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya”.

b. Hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Umm Salamah r.a yang bermaksud : “Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya dari segi dosanya ”.


Berdasarkan kepada keupayaan dunia perubatan semasa, kebanyakan ulama’ di seluruh dunia Islam mengharuskan bedah siasat mayat dalam keadaan dharurat. Jumhur fuqaha’ kecuali Mazhab Hanbali berpandangan bahawa harus membedah mayat ibu hamil demi menyelamatkan nyawa bayi yang dipercayai masih hidup dalam kandungan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-8 yang telah bersidang pada 24- 25 September 1984 telah membincang mengenai hukum bedah siasat dan memutuskan bahawa “Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang sangat berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan anaknya dalam kandungan masih hidup”, dan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan bahawa “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan”.

Menyiksa mayat memang diharamkan oleh Islam. Sekiranya ada kaedah lain dalam bedah siasat mayat yang lebih baik, kaedah tersebut elok digunakan.Penemuan kaedah Autopsi Maya sekiranya setanding dengan kaedah bedah siasat mayat atau post-mortem sedia ada, memberi gambaran bahawa bedah siasat bukan lagi satu-satunya prosedur yang boleh digunakan untuk mencari punca kematian, mengkaji penyakit atau tujuan pembelajaran. Ini bermakna autopsi klasik bukan lagi dharurat. Jika Autopsi Maya diterima sebagai alternatif atau pelangkap kepada bedah siasat mayat sedia ada, kaedah ini sepatutnya menjadi keutamaan.

>>>fatwa kebangsaan.

“ Tiada ilmu yang lebih mulia dari ilmu mengenai yang dibenarkan dan yang diharamkan (fiqh) , perubatan (kedoktoran) adalah yang kedua selepas itu” 
(Ash-syafie: Dhahabi, At-Tibb An-Nawawi, 1986:219 and 228)

EXCO TARBIYAH DAN KEROHANIAN 2013/2014