Pada hari Khamis,
8 Ogos 2013 bersamaan 1 Syawal 1434 H, PKPMI Makassar telah menganjurkan
Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini dihadiri kira-kira 40 orang yang
terdiri daripada para pelajar Malaysia yang menyambut hari raya di Makassar.
Pagi raya
dimulakan dengan laungan takbir, seterusnya diikuti dengan solat sunat hari
raya. Saudara Muhammad Syazwan Misran kemudian menyampaikan khutbah sejurus
selepas solat sunat hari raya ini, dengan bertemakan Perpaduan.
Aktiviti gotong-royong
untuk persiapan bagi menyambut hari raya dilakukan sejak pagi hari Rabu. Bagi
menyiapkan segala persiapan, semua pelajar di beri tanggungjawab masing-masing
yang harus dilakukan. Ada antaranya yang membersihkan tempat, menyiapkan bahan
masakan, menyediakan lemang dan pelbagai lagi. Persiapan untuk hari raya kali
ini berlanjutan sehingga lewat malam. Tetapi semua pelajar dapat merasa
keindahan suasana berhari raya di perantauan.
Juadah yang disediakan
untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini sama sahaja seperti tahun yang
sebelumnya. Seperti nasi impit, lemang, rending dan sebagainya. Bagi
melancarkan urusan menyediakan hidangan atau juadah, pelajar di beri tugasan
untuk menyiapkan setiap meu yang ditetapkan.
Selesai solat sunat hari raya, jamuan makan
dimulakan. Antara juadah yang disediakan adalah seperti rending, lemang,
ketupat dan pelbagai jenis kuih. Minuman yang tersedia pula ialah air sirup.
Apa yang menarik adalah makanan disediakan di dalam talam. Seramai lima orang
pelajar berkongsi satu talam. Acara seperti ini boleh mewujudkan kemesraan dan
kasih sayang serta mengeratkan tali silaturrahim di kalangan pelajar. Ia juga
merupakan satu pengalaman yang baru bagi mereka yang belum pernah makan
menggunakan talam.
Alhamdulillah, Sambutan Hari Raya
Aidilfitri 1434H telah berjalan dengan jayanya. Sememangnya, masih ada beberapa
cacat-cela sepanjang aktiviti ini berlangsung, namun diharap kelemahan ini
tidak membayangi kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang telah dijalankan
ini, dan kelemahan ini diharap dapat diperbaiki untuk aktiviti-aktiviti PKPMI
yang seterusnya. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua komuniti Malaysia
yang telah bersama-sama menggembleng tenaga untuk menjayakan aktiviti. Tanpa
kerjasama dari semua pihak, pastinya program ini akan terasa hambar. Terima
kasih yang tak terhingga diucapkan sekali lagi. Akhir kata, semoga Sambutan Hari
Raya Aidilfitri 1434H kali ini mencapai objektifnya. Sekian, wassalam.