Saturday 29 June 2013

FIQH PERUBATAN 2 : Hukum Menggunakan Kaedah Autopsi Maya Sebagai Alternatif Kepada Bedah Siasat Mayat



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4 - 6 April 2006 telah membincangkan Hukum Menggunakan Kaedah Autopsi Maya Sebagai Alternatif Kepada Bedah Siasat Mayat. Muzakarah telah memutuskan bahawa Penggunaan kaedah Autopsi Maya (Virtual Autopsy) dalam bedah siasat mayat jika memenuhi keperluan, WAJIB DIBERI KEUTAMAAN berbanding kaedah bedah siasat yang diamalkan sekarang.

Keterangan/Hujah: 

Kaedah ini merupakan kaedah teknologi pengimejan yang biasanya dilakukan ke atas pesakit hidup sebagai salah satu prosedur pemeriksaan atau mengesan suatu penyakit seperti ketumbuhan, kanser dan sebagainya. Kaedah yang sama boleh lakukan ke atas mayat yang bertujuan mengenalpasti punca kematian tanpa menyentuh mayat tersebut.


Kombinasi sistem 3-D Computed Tomography (CT) dan teknik Imejan Resonans Magnetik atau magnetic resonance imaging (MRI) yang dibangunkan ini dikenali sebagai “Virtopsy”. Ia menggunakan 7.0-Tesla magnet ke atas mayat berbanding 1.5 atau 3.0-Tesla magnet yang digunakan ke atas pesakit hidup. Kadar radiasi tinggi yang digunakan ke atas mayat membolehkan imej yang dihasilkan lebih bermutu. Imej yang dihasilkan dari kaedah ini membolehkan mayat diperiksa dari pelbagai sudut yang dikehendaki tanpa memusnahkan bukti-bukti forensik yang diperlukan. Malah penelitian, pengamatan dan pemeriksaan ini boleh dilakukan secara terperinci dengan melakukan pemotongan secara maya dan boleh disaksikan berulang-ulang kali. Ini adalah di antara kelebihan autopsi digital berbanding dengan autopsi klasik yang mempunyai beberapa limitasi seperti masalah pemerhatian tunggal yang hanya terhad kepada pakar forensik yang terlibat dengan bedah siasat dan pembentukan semula organ atau tisu yang diawet yang mungkin merubah bukti forensik.

Islam mengajar agar umatnya memuliakan orang-orang yang telah meninggal dunia ((إحترام الاموات. Melakukan kemudharatan yang boleh mencacatkan secara fizikal orang yang telah meninggal merupakan satu penganiayaan dan pencerobohan ke atas maruah serta kehormatan mayat. Oleh itu, autopsi terutama autopsi klasik adalah satu bidang medikal yang dianggap sensitif bukan sahaja dari segi agama tetapi juga oleh budaya masyarakat negara ini.


Hadis-hadis Rasulullah S.A.W yang melarang Menyakiti Mayat:

a.hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Imam Ahmad yang bermaksud : Daripada Saidatina Aisyah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya”.

b. Hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Umm Salamah r.a yang bermaksud : “Memecahkan (mematahkan) tulang mayat sama seperti memecahkannya (mematahkannya) sewaktu hidupnya dari segi dosanya ”.


Berdasarkan kepada keupayaan dunia perubatan semasa, kebanyakan ulama’ di seluruh dunia Islam mengharuskan bedah siasat mayat dalam keadaan dharurat. Jumhur fuqaha’ kecuali Mazhab Hanbali berpandangan bahawa harus membedah mayat ibu hamil demi menyelamatkan nyawa bayi yang dipercayai masih hidup dalam kandungan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali ke-8 yang telah bersidang pada 24- 25 September 1984 telah membincang mengenai hukum bedah siasat dan memutuskan bahawa “Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang sangat berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan anaknya dalam kandungan masih hidup”, dan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan bahawa “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan”.

Menyiksa mayat memang diharamkan oleh Islam. Sekiranya ada kaedah lain dalam bedah siasat mayat yang lebih baik, kaedah tersebut elok digunakan.Penemuan kaedah Autopsi Maya sekiranya setanding dengan kaedah bedah siasat mayat atau post-mortem sedia ada, memberi gambaran bahawa bedah siasat bukan lagi satu-satunya prosedur yang boleh digunakan untuk mencari punca kematian, mengkaji penyakit atau tujuan pembelajaran. Ini bermakna autopsi klasik bukan lagi dharurat. Jika Autopsi Maya diterima sebagai alternatif atau pelangkap kepada bedah siasat mayat sedia ada, kaedah ini sepatutnya menjadi keutamaan.

>>>fatwa kebangsaan.

“ Tiada ilmu yang lebih mulia dari ilmu mengenai yang dibenarkan dan yang diharamkan (fiqh) , perubatan (kedoktoran) adalah yang kedua selepas itu” 
(Ash-syafie: Dhahabi, At-Tibb An-Nawawi, 1986:219 and 228)

EXCO TARBIYAH DAN KEROHANIAN 2013/2014

Thursday 27 June 2013

TAHNIAH WISUDAWAN DOKTER UNHAS JUN 2013




Assalamu'alaikum dan salam sejahtera
Keluarga PKPMI Makassar mengucapkan sekalung tahniah kepada 15 orang wisudawan dokter UNHAS pada 24 Jun 2013:


1. Dr. Nurhanis binti Abdul Malek
2. Dr. Uma Devi Rama Rao
3. Dr. Siti Nor Sarah Nabila binti Mohd Normal
4. Dr. Razan Syazana binti Zainal Arsad
5. Dr. Anis Izatti binti Ahmad Jaafar
6. Dr. Ahmad Shahrizal bin Abdul Satar
7. Dr. Muhammad Azman bin Mohamed Sherafath Ali
8. Dr. Thiban Shaarma A/L Jaeipalan
9. Dr. Farhan Hafiz bin Nazari
10. Dr. Colette Dousin
11. Dr. Muhammad Nabil Fahmi bin Jamaluddin
12. Dr. Tengku Nurshahril bin Tengku Kechil
13. Dr. Rohana binti Ab Rahman
14. Dr. Radin Siti Hajar binti Radin Abdul Halim
15. Dr. Siti Nur Ain binti Zulkifli


Semoga terus sukses dan selamat menempuh dunia housemanship.!!Perjuangan ini tidak berakhir, malah perjuangan akan dimulai. Suka duka, jerih perih dan penat lelah yang anda lalui diharapkan menjadi batu loncatan untuk masa depan. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu. Selamat maju jaya!!

Sunday 23 June 2013

KITA ADALAH SANG JUARA


Terkadang,
terdetik kapankah akan muncul pengakhiran
dan mungkin ini adalah noktah penamatnya!!
bunga terus mekar,layu,mekar dan kembali layu
terasa garis masa dihentikan seketika
tidak sanggup lagi berlayar di lautan berduri ini

ingatlah..
kita adalah sang juara
sang juara yang berjuang 'hidup' di dalam rahim bunda
sang juara yang belajar bertatih di bumi nyata
meski menyembah bumi terhiris luka

ingatlah..
kita adalah sang juara 
dalam pengembaraan panjang
tribulasi, badai menjelma kencang
sumur kesedihan tak pernah kunjung kontang
namun, kita lalui dengan penuh tenang

kita adalah sang juara..
melewati hari hari penuh kerinduan
pada insan insan yang jauh terpisahkan
hanya mutiara azimat sebagai panduan

embun kesabaran mengiringi daunan perjalanan
tinta keringat memenuhi kitab kitab kehidupan
dan kerana itu kita masih tetap bertahan
sehingga penghujung pertemuan
yang akhirnya merasa nikmat kesuksesan..




Monday 10 June 2013

FIQH PERUBATAN 1 : Derma Organ - Pemindahan Jantung Dan Mata


Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Pertama yang bersidang pada 23 - 24 Jun 1970 telah membincangkan Pemindahan Jantung Dan Mata. Persidangan telah memutuskan bahawa pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah DIBENARKAN (HARUS) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:

1. Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada   

    pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.
2. Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan    

    jantungnya.
3. Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan    

      perdagangan anggota-anggotanya.
4. Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang 
    anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat 
    kemalangan.

Keterangan/Hujah: 

Sumber yang menjadi asas hukum di atas ialah:

 i. Untuk menghapuskan kemudharatan, sepertimana yang dituntut oleh Hadis Rasulullah s.a.w. yang 

     berbunyi " لا ضرر ولا ضرار " yang bermaksud “Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan   
    tidak boleh memudharatkan orang lain”.
ii.Memberi kemudahan, sepertimana yang terkandung dalam firman Allah 185, Surah al-Baqarah yang 
     bermaksud “Allah berkehendakkan kemudahan untuk kamu dan tidak berkehendak  
    kepayahan”.
iii.Melakukan kemudharatan yang paling ringan di antara dua kemudharatan, sepertimana yang 
     terkandung dalam kaedah Fiqh yang berbunyi " ارتكا ب أخف الضررين " yang bermaksud " melakukan 
    kemudharatan yang lebih ringan ".

Hukum harus menderma dan memindahkan organ juga tertakluk kepada berbagai-bagai syarat yang pada prinsipnya menjaga berbagai kepentingan selaras dengan kehendak syariat Islam. 
Syarat-syarat tersebut adalah seperti berikut:

i.  Ia tidak akan menyebabkan penderma menanggung kemudharatan atas dirinya seperti mati atau 

     cacat seperti hilang pendengaran, penglihatan, kemampuan untuk berjalan dan sebagainya.
ii. Pemindahan berkenaan berlaku dengan izin penderma berkenaan.
iii.Keizinan berkenaan berlaku dalam keadaan penderma memiliki kelayakan penuh untuk

      melakukannya. Kerana itu ia tidak boleh dilakukan oleh kanak-kanak, orang gila, atau orang yang 
     dipengaruhi oleh tekanan atau paksaan atau kekeliruan.
iv.Ia tidak berlaku dengan cara yang mencabuli kehormatan manusia, seperti melibatkan urusan jual 

     beli. Sebaliknya ia perlu berlaku berasaskan keizinan dan pendermaan semata-mata.
v. Para doktor yang melakukan urusan pemindahan berkenaan mempunyai asas keilmuan yang cukup 

     untuk membuat pertimbangan baik buruk ke atas penderma dan penerima berasaskan prinsip
     maslahah dan mafsadah sepertimana yang terdapat dalam Syariat Islam.

>> Fatwa Kebangsaan.

“ Tiada ilmu yang lebih mulia dari ilmu mengenai yang dibenarkan dan yang diharamkan (fiqh) , perubatan (kedoktoran) adalah yang kedua selepas itu” 
(Ash-syafie: Dhahabi, At-Tibb An-Nawawi, 1986:219 and 228)




EXCO TARBIYAH DAN KEROHANIAH 2013/2014